Al-Fatihah Untuk Wira bomba Kita

PETALING JAYA: Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera parah dipukul perusuh di depan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, 3 minggu lalu, meninggal dunia hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata mangsa meninggal dunia 9.41 malam tadi.

Katanya, jenazah Adib akan dibawa ke Balai Bomba Jalan Hang Tuah di ibu negara untuk solat jenazah, sebelum dikebumikan di Kedah.

“Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman,” katanya ketika ditemui di IJN malam ini.

Semalam, Institut Jantung Negara (IJN) dalam satu kenyataan menjelaskan kesihatan Adib semakin merosot dan fungsi paru-parunya mengalami penurunan beransur-ansur.

Sehubungan itu, doktor memasukkan semula sistem Veno Venous ECMO mulai 9 malam Sabtu lalu bagi membantu beliau bernafas.

Katanya, Adib turut memerlukan sokongan dialisis kerana fungsi buah pingganya tidak bertambah baik.

Adib dimasukkan ke unit rawatan rapi Pusat Perubatan Subang Jaya kira-kira 1 pagi 27 November lalu, sebelum dipindahkan ke IJN, keesokan malamnya.

Sementara itu, rakyat termasuk ahli politik dan menteri mengucapkan takziah kepada keluarga Adib.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga rohnya ditempatkan di kalangan mereka yang beriman,” tulisnya dalam Twitter.

Innalillah wainna ilaihi rajiun
Allahummaghfirlahu warhamhu waa’fihi wa’fuanhu